Menyambut kelahiran cahaya mata adalah satu kegembiraan yang tidak terhingga bagi setiap ibu bapa. Namun, setiap ibu bapa juga perlu tahu beberapa perkara berkaitan dengan menyambut kelahiran bayi. Terdapat beberapa Sunnah yang perlu ibu bapa ketahui ketika menyambut kelahiran bayi.

1. Azan dan iqamat

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, bayi tersebut disunatkan untuk dikumandangkan azan. Bapa akan mengumandangkan azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kiri bayi. Ia juga digalakkan menghadap ke arah kiblat semasa mengazankan bayi. Perkara ini digalakkan kerana ia dapat melindungi bayi daripada segala hasutan syaitan dan dapat menanamkan keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi.

2. Memberi nama yang baik

Selepas kelahiran bayi, pemberian nama bayi adalah perkara yang paling dinantikan oleh ibu bapa. Namun, pemberian nama bayi juga perlu dititik beratkan. Ibu bapa disunat untuk memberi nama pada hari pertama atau hari ketujuh. Ibu bapa juga digalakkan untuk menamakan bayi dengan nama-nama yang baik dan mempunyai makna yang baik. Ini kerana nama-nama tersebut yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.

3. Tahnik

Tahnik merupakan salah satu sunnah yang digalakkkan juga kepada bayi yang baru lahir. Mentahnik adalah dengan meletakkan makanan yang manis seperti madu, kurma atau manisan lain ke lelangit bayi dan diiringi dengan bacaan selawat, surah an-Nas, surah al-Falaq, surah al-Ikhlas dan surah al-Insyirah.

4. Mencukur rambut

Mencukur rambut adalah satu amalan sunnah yang dilakukan ke atas bayi yang baru lahir. Ia adalah amalan yang selalu dilakukan seiring dengan majlis aqiqah. Amalan ini dilakukan dengan cara menggunting sedikit rambut bayi tersebut. Namun, ia disunatkan supaya mencukur keseluruhan rambut bayi tersebut. Kemudian, rambut yang telah dicukur tersebut hendaklah ditimbang beratnya dan disedekahkan kepada fakir miskin.

5. Aqiqah

Ibadah aqiqah adalah menyembelih binatang sembelihan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas kelahiran bayi. Amalan ini sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi. Hukum ibadah aqiqah adalah sunat muakkad. Bagi anak lelaki adalah 2 ekor kambing atau 2 bahagian daripada seekor lembu. Bagi anak perempuan pula adalah 1 ekor kambing atau 1 bahagian daripada seekor lembu.

6. Sunat

Sunat adalah salah satu amalan yang wajib dilakukan ke atas bayi tidak kira lelaki atau perempuan. Ini kerana dengan bersunat ia dapat mengelakkan diri daripada sebarang penyakit. Bagi bayi lelaki, ia perlu disunatkan semasa mereka meningkat umur baligh namun ia juga boleh dilakukan selepas dilahirkan. Bagi bayi perempuan pula, mereka perlu disunatkan selepas dilahirkan.

Baca artikel-artikel lain:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *