Syarat-syarat Qurban

Tatacara Pelaksanaan Ibadah Qurban - 2

TUJUAN
Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban ini disediakan adalah untuk memberi panduan dan rujukan kepada individu yang hendak melaksanakan ibadah qurban dan pihak yang hendak
menguruskan ibadah tersebut.

INDIVIDU YANG DITUNTUT MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Syarat-syarat bagi individu yang dituntut melakukan ibadah qurban adalah seperti yang berikut

(a) Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.

(b) Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.

(c) Mencapai umur baligh dan berakal.

(d) Bermukim, iaitu menetap di sesuatu kawasan.

(e) Mampu melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.

SYARAT SAH BERQURBAN

Syarat sah berqurban hendaklah melakukan dua perkara:

(a) Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.

(b) Memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biribiri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

TEMPOH DAN MASA BERQURBAN

Tempoh dan masa berqurban hendaklah dilakukan berdasarkan ketetapan yang berikut, iaitu:

(a) Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.

(b) Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berqurban bermula pada jam 9.30 pagi

(c) Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berqurban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan qurban atau tidak, hukumnya adalah sah.

(d) Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan qurban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka hukumnya adalah tidak sah

(e) Penyembelihan qurban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Aidiladha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah.

SYARAT SAH HAIWAN TERNAKAN UNTUK QURBAN

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah qurban, perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan, iaitu:

(a) Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu, tidak sah berqurban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.

(b) Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

(c) Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya.

(d) Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu:

  1. unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam
  2. lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
  3. kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
  4. biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan

SYARAT PENYEMBELIH HAIWAN QURBAN

Afdal bagi orang yang melakukan qurban menyembelih sendiri qurbannya. Walau bagaimanapun, dia boleh mewakilkan kepada orang lain atau syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk menguruskan ibadah qurban, dan sunat baginya sama-sama hadir menyaksikannya dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

(a) Penyembelih qurban hendaklah seorang muslim, sama ada lelaki atau perempuan. Namun yang afdal menyembelih qurban adalah orang lelaki dan sunat orang perempuan mewakilkan kepada orang lelaki

(b) Seorang yang telah mumayyiz dan berakal

(c) Mampu melakukannya (pandai menyembelih) dan dilakukan tanpa ada paksaan

(d) Sembelihan makruh jika mewakilkan qurban itu untuk disembelih oleh ahli kitab, atau kepada kanak-kanak dan perempuan haid

(e) Jika qurban itu disembelih oleh orang kafir yang diwakilkan oleh tuan qurban, maka qurban itu tidak sah.

SYARAT SAH SEMBELIHAN

Syarat sah sembelihan adalah dengan memutuskan

(a) dua urat pembuluh darah, iaitu karotid dan jugular (wadajain)

(b) urat mari’ (saluran makanan)

(c) halqum (saluran pernafasan).

SYARAT ALAT MENYEMBELIH

Alat menyembelih hendaklah tajam, bukan menggunakan alat yang tumpul, tulang dan gigi haiwan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *