Pengertian, Hikmah, Hukum & Pembahagian Qurban
Tatacara Pelaksanaan Ibadah Qurban - 1
TUJUAN
Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban ini disediakan adalah untuk memberi panduan dan rujukan kepada individu yang hendak melaksanakan ibadah qurban dan pihak yang hendak
menguruskan ibadah tersebut.
PENGERTIAN
Bagi maksud garis panduan ini:
(a) “Qurban” bermaksud nama bagi sesuatu yang diqurbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada ‘Idul Adha. Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an’am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan taqarrub kepada Allah SWT.
(b) “Taqarrub” bermaksud perbuatan atau amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah qurban adalah salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah alHajj ayat 36.
(c) “Nazar” bermaksud janji kepada Allah SWT. Menurut al-Mawardi, nazar ialah iltizam (mewajibkan diri) untuk melakukan qurban (sesuatu yang boleh menghampirkan diri kepada Allah) yang pada asalnya tidak wajib di sisi syarak.
(d) “Qurban Nazar” bermaksud qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar. Contohnya, apabila seseorang menyebut: “Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah SWT”.
(e) “Qurban Sunat (tatawu’)” bermaksud qurban yang dilakukan bukan niat kerana bernazar. Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab-sebab dan syarat yang menjadikannya wajib.
(f) “Sunat Muakkadah” bermaksud sunat yang amat dituntut untuk melakukan ibadah qurban, dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.
(g) “Hari Nahar” bermaksud ’Idul Adha atau Hari Raya Qurban, iaitu pada 10 Zulhijjah.
(h) “Hari Tasyrik” bermaksud 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
HIKMAH IBADAH QURBAN
Ibadah qurban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, disamping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.
HUKUM BERQURBAN
Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.
JENIS QURBAN
Qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu qurban nazar (wajib) dan qurban sunat.
STATUS HUKUM DAGING QURBAN
Hukum berkaitan daging qurban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut:
(a) Haram memakan daging bagi orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam.
(b) Hukum pemberian daging qurban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i.
(c) Kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulubulunya haram dijual oleh orang melakukan ibadah qurban sama ada qurban wajib atau qurban sunat.
(d) Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban.
(e) Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging qurbannya.
PEMBAHAGIAN DAGING QURBAN
Pembahagian daging qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan qurban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:
(a) Pembahagian daging qurban wajib atau nazar:
Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berqurban memakan daging qurbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
(b) Pembahagian daging qurban sunat:
Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i:
- 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang
berqurban dan ahli keluarganya; - 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan
miskin; - 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat
handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
Yang paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berqurban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan qurban.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia